Gerakan BRN Memberi Laluan Kemanusiaan di Thailand Selatan

Turanisia.com – Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani mengisytiharkan gencatan senjata di Thailand Selatan (Patani) dalam masa pandemi COVID-19. Peristiharan melalui Tweeter Matt Wheeler. 03 April 2020. Adapun isi yang tersurat sebagai berikut.

Perisytiharan Sikap BRN Menangani COVID-19.

3 April 2020 / 9 Sya’ban 1441

Assalamualaikum wtb.

Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) menyedari bahawa COVID-19 atau Coronavirus adalah ancaman yang sangat serius kepada seluruh umat manusia di dunia ini termasuk di Patani.

Kini angka jangkitan dan kematian semakin meningkat dan ianya dijangka akan meningkat lagi sekiranya langkah-langkah kesihatan tidak diambil berat khususnya oleh warga Patani. Selaras dengan pengumuman Jabatan Penerangan BRN melalui saluran Youtube pada tanggal 26 Mac 2020 bersamaan 6 Sya’ban 1441, kami sekali lagi ingin menegaskan bahawa menjadi kewajiban bagi kita semua untuk menjaga bangsa dan keturunan daripada terjejas akibat wabak ini.

Dalam suasana rakyat Patani sedang menghadapi kesulitan dan kecemasan ini, ia diburukkan lagi oleh peningkatan operasi ketenteraan yang tidak ada perikemanusiaan dan bertimbang rasa. Ini termasuk operasi serbuan, pengepungan rumah-rumah yang disyaki, penangkapan dan penahanan orang Melayu yang disyaki terlibat dalam pergerakan. Jelas segala tindakan ini telah mengeruhkan lagi keadaan yang sudah amat tegang sehingga mengakibatkan Rakyat Patani terpaksa menghadapi dua ketakutan pada masa yang sama.

Untuk mencipta suasana yang lebih aman dan selesa bagi rakyat di Patani, berhubungan dengan segala usaha-usaha seluruh kakitangan kesihatan, dan agensi agensi yang bertugas mencegah dan mengawal wabak COVID19, kini BRN telah mengambil sikap memberhenti segala kegiatan dalam rangka memberi laluan kemanusian kerana menyedari bahawa di saat ini musuh utama umat manusia sejagat adalah COVID-19.

Perisytiharan ini berkuat kuasa pada hari Jumaat 3 April 2020, bersamaan 9 Syaaban 1441, sehingga BRN tidak diserang oleh pihak kakitangan Kerajaan Thailand.

BRN sekali lagi mengulangi komitment untuk bekerjasama dalam mengatasi wabak COVID 19 dan sebagai pembela Bangsa Patani, BRN menyeru kepada seluruh Bangsa Patani untuk beriktiar menjaga diri dan keluarga masing masing semampu mungkin serta berdoa banyak kepada Pencipta Alam Sejagat.

Selamat menjalankan ibadah puasa, semoga Allah Yang Maha Kuasa memberikan kekuatan dan ketabahan pada saat kita bersama-sama menghadapi cabaran ini.

Sekian, Wassalam.

Sekretariat Pusat
Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN)

Link perisytiharan https://twitter.com/mattzwheeler/status/1246401057883746304?s=19

Comments

Red : Faizun Ibnihusen

Aktivis Indonesia (APPI)

Leave a Reply

id Bahasa Indonesia
X