Selesai Runding Isu Zona Aman, Kerajaan Thai, Mara Patani

Kuala Lumpur – Para perunding Kerajaan Thailand dan Mara Patani (Majlis Syura Patani) selesai mengadakan rundingan tentang aspek teknikal Zona Aman yang disediakan penubuhannya di selatan Thailand, bacalahmalaysia.com, Minggu (19/02/2017)

Juru bicara Mara Patani Dr Abu Hafiz al-Hakim mengungkapkan kejayaan memuktamadkan rundingan itu merupakan suatu perkembangan positif berkaitan isu berkenaan.

“Kedua-dua pasukan teknikal itu selesai berunding tentang Kerangka Umum Mengenai Pelaksanaan Zona Aman. Ia akan dikemukakan kepada mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama-Proses Dialog Perdamaian akhir bulan ini,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Menurut beliau, kedua-dua pihak mungkin mengeluarkan kenyataan bersama kepada media selepas mesyuarat itu akhir bulan ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lokasi mesyuarat itu akan diadakan, tetapi katanya mungkin di Kuala Lumpur seperti mesyuarat lain sebelum ini, sejajar dengan peranan Malaysia sebagai fasilitator bagi proses damai di selatan Thailand.

Sebelum ini, Abu Hafiz mengumumkan satu projek perintis mengenai Zona Aman di selatan Thailand akan dilaksanakan tahun ini.

Thailand dan Mara Patani, badan induk yang mewakili berbagai kumpulan gerakan di selatan Thailand, termasuk “Barisan Revolusi Nasional” (BRN), yang sangat berpengaruh, telah mengadakan beberapa kali rundingan di Kuala Lumpur.

Menurut pemerhati, sehingga kini, sengketa yang melanda selatan Thailand telah merenggut lebih 6,000 nyawa. – Mstar Online

Editor Faizun Ibni Husen

Sumber
http://www.bacalahmalaysia.com/2017/02/19/kerajaan-thai-mara-patani-selesai-runding-isu-zon-keselamatan/

Red : Faizun Ibnihusen

Aktivis Indonesia (APPI)