Tuan Guru Haji Sulong al-Fathoni; Bapak Perjuangan Patani

Telah tercatat dalam sejarah bahwa kelima-lima anak lelaki Tuan Minal al-Fathani (Sheikh Zainal Abidin al-Fathani) menjadi ulama. Salah seorang antaranya ialah Sheikh Abdul Qadir bin Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Beliau melahirkan ramai keturunan yang menjadi ulama, antaranya adalah ulama yang dibicarakan ini iaitu Tuan Guru Haji Sulong al-Fathani.

TUAN GURU HAJI SULONG AL-FATHONI, seorang ulama yang sangat besar pengaruhnya bagi umat Islam Melayu Patani. Bahkan hampir semua orang Islam yang berasal dari Patani mengenali beliau. Beliau turut diakui oleh masyarakat Patani sebagai “Bapak Perjuangan Patani”, kerana pembangkit Revolusi Patani Merdeka pada zaman modern.

Pada zaman Perang Dunia Kedua, beliau dilantik sebagai ketua untuk pergerakan ulama Patani yang membuat tuntutan kemerdekaan dengan dinamakan Hai-atun Nafaz al-Ahkam asy-Syari’yah.

Nama Tuan Guru Haji Sulong terkenal bukan kerana penulisan, tetapi melalui perjuangan. Namun beliau juga telah menghasilkan beberapa karya, antaranya;

1) Kitab Cahaya Islam – Gugusan Maulid Saiyidil Anam

Cahaya Islam ditulis oleh Tuan Guru Haji Sulong al-Fathoni sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tahun 1362 H/1943, dalam masa darurat suasana Perang Dunia Kedua.

Tumpuan utama kandungan Kitab Cahaya Islam adalah tentang Maulid Nabi Muhammad SAW. Namun pendekatan yang digunakan jauh berbeda dengan penulisan-penulisan lain yang pernah dihasilkan oleh ulama dunia Melayu yang terdahulu daripadanya. Hampir separuh kandungan jilid pertama adalah membahas pembagian bid’ah. Seterusnya dilanjutkan pula pendapat para ulama-ulama yang terkenal dunia Islam tentang hukum mengadakan Maulid Nabi Muhammad S.A.W.

Sebelum membahaskan lebih lanjut, Tuan Guru Haji Sulong al-Fathoni menyatakan abstrak karangannya terlebih dahulu, iaitu:

1) Kenyataan pasal bid’ah, dan maknanya, serta segala bagiannya.

2) Kenyataan pasal dalil bagi sunat berbuat maulid, dan sunat bangun berdiri.

3) Kenyataan pasal kelebihan berbuat maulid, dan kelebihan orang yang hadir pada majlisnya.

Mengenai yang pertama yaitu pasal bid’ah yang terkandung pada halaman 4-5 kitab tersebut, Tuan Guru Haji Sulong al-Fathoni menulis;

“Bahawa berbuat maulid itu bid’ah, kerana tidak diperbuat oleh Nabi SAW, dan begitu juga sahabat-sahabat dan ulama-ulama yang kemudian daripada sahabat.

“Hingga sampai kepada tahun hijrah 300 tahun tiada ada siapa-siapa yang berbuat akan dia. Dan kemudian daripada hijrah yang tersebut itu barulah timbul maulid. Dan tatkala timbul maulid itu senantiasa orang-orang Islam pada tiap-tiap negeri mengadakannya, istimewa pula negeri yang besar-besar seperti Baghdad, Syam, Mesir, negeri Makkah, Madinah, pada tiap-tiap tahun menghimpunkan manusia serta diperbuat beberapa kebajikan daripada jamuan, dan membaca Quran, dan berzikir, dan membaca kisah maulid…”.

Namun, Tuan Guru Haji Sulong al-Fathoni menolak pendapat golongan tertentu yang mengatakan bahwa mengadakan perayaan maulid adalah bid’ah yang keji (terlarang). Beliau menulis perkara tersebut yang terkandung pada halaman 5-6;

“Maka sesungguhnya berbuat maulid itu bid’ah. Akan tetapi masuk di dalam bagian ‘bid’ah hasanah’ diberi pahala akan orang yang mengerjakan dia, seperti melakukan ibadat yang sunat. Maka perhamba sebutkan sedikit pasal bagian bid’ah kerana khawatir menjadi terkeliru di atas mereka yang tidak tahu bagian bid’ah, maka ia berkata bahwasanya berbuat maulid itu bid’ah yang keji atau haram, seperti sangkaan mereka yang telah disesatkan…”

Tuan Guru Haji Sulong al-Fathoni berpegang bahwa merayakan maulid Nabi SAW adalah termasuk dalam kategori Bid’ah Hasanah atau sunat dikerjakan. Untuk menguatkan pendapat tersebut, beliau memetik pendapat-pendapat di antaranya Sheikh Ibnu Hajar al-‘Asqallani, Imam as-Sayuthi, al-Muhaddits Muhammad bin Mas’ud al-Kazaruni dan ulama-ulama lainnya, sedangkan mereka adalah ulama ahli hadis yang sangat terkenal. Semua pendapat ulama yang tersebut dilengkapi dengan petikan yang agak panjang dan pada beberapa tempat disebut pula kitab-kitab rujukan.

Pada bagian penutup, pengenalan Cahaya Islam di halaman 42, beliau menulis lagi;

“Dan telah lalu cerita Hikayat Raja al-Muzhaffar Abu Said, bahwasanya membelanjakan hartanya pada berbuat maulid di dalam setahun 30 laksa dinar. Maka janganlah mengikut pengugut-pengugut iblis, yang ia berkata kepada seseorang; “Janganlah engkau belanjakan harta engkau kepada jalan kebajikan, lama-lama habis harta engkau jadi papa, maka jadilah engkau orang miskin”. Maka itulah jadi bakhil dan lokek tidak berbuat sesuatu kebajikan dengan hartanya. Maka minta Allah S.W.T menjauhkan hal yang semacam itu daripada kita”.

2) Kitab Gugusan Cahaya Keselamatan

Kitab ini adalah karya Tuan Guru Haji Sulong yang terakhir, telah ditulisnya ketika di dalam penjara Legor, Nakhorn Sri Thammaraj, Thailand. Setelah karya ini, tidak ada lagi karya beliau yang lain, karana setelah itu beliau hilang secara misteri. Bahkan hingga sekarang tidak diketahui di mana Tuan Guru Haji Sulong dikebumikan.

Gugusan Cahaya Keselamatan selesai ditulis pada 3 Zulkaedah 1368 H bersamaan dengan 28 Ogos 1949 M. Cetakan yang pertama 10,000 naskhah, diusahakan oleh Tuan Haji Muhammad Amin, anak Haji Sulong. Diterbit oleh Saudara Press Patani, 185, Jalan Rodi, Patani, 1377 H/1958 M.

Antara intipati Kitab Gugusan Cahaya Keselamatan;

Pertama, di bawah judulnya, Tuan Guru Haji Sulong memberi keterangan sebagai berikut, “Pada membentengkan beberapa wirid, dan doa, dan ayat Quran. Diterbitkan cahaya yang cemerlang daripada penjara negeri Legor, Siam, ke seluruh negeri Islam …”.

Kedua, kandungannya merupakan kisah yang terjadi mulai kedatangan pihak penguasa Siam (Thailand) untuk menangkap Tuan Guru Haji Sulong pada pukul 5 sore tempatan, hari Jum’at 5 Rabi’ul-Awal 1367 H bersamaan 16 Januari 1948 M. Semua peristiwa yang berlaku terhadap diri beliau dicatat dengan kemas dan teliti, sehinggalah beliau selesai menulisnya. Kandungan selanjutnya ialah berbagai-bagai jenis amalan untuk ketahanan diri menghadapi perjuangan.

Ketiga, pada kata pengantarnya, Haji Muhammad Amin mencerminkan jiwa patriotik, mengajak umat Patani terus berjuang. Di antara kata-kata beliau;

“Dengan ini saya mengeluarkan sebuah buku karangan ayahanda saya untuk menjadi pengetahuan kepada seluruh umat Islam. Buku inilah menjadi pusaka bagi isterinya, anak-anaknya seterusnya kaum bangsa kita”.

Kata Haji Muhammad Amin pula, “Sekarang ini saya berseru kepada kaum muslimin dan muslimat sekelian, biar pun ayahanda saya telah tidak ada lagi di muka bumi ini, kerana beliau telah mati syahid, tetapi perasaan dan semangat serta juga jasa-jasanya masih hidup. Dan tertanam di dalam jantung sanubari tuan-tuan sekalian untuk kita pula bersama-sama bekerja dan mencapai tujuan-tujuan baik yang telah diasaskan oleh ayahanda saya itu …”

Sebelum menutup karangan ini, sekali lagi Haji Sulong memberikan kata-kata slogan perjuangannya, kata beliau pada halaman 13, “Akan tetapi manakala saya teringat akan tarikh nabi-nabi dan sahabat-sahabat dan tabi’in r.a bermacam-macam ditimpa percobaan di atas mereka itu, ialah menjadi contoh dan tauladan supaya mengikut oleh mereka yang bersetuju melangkah sebagaimana langkahan mereka itu yang patut dengan peredaran masa yang kelam sekarang.

“Maka tidaklah jadi pelik dan dukacita, oleh kerana perjalanan saya mengikut dasar mereka itu, iaitu meninggikan agama yang maha suci…”

Sumber: Koleksi Ulama Nusantara, Hj.Wan Mohd Shaghir Abdullah. Terbitan Khazanah Fathaniyah, tahun 2010 dan Artikel terkait.

Baca al-Fatihah… hadiah kepada para-para pejuang Patani

Editor: Abu Muhammad Faton

Comments

Aksi Mahasiswa

Diaspora